Tuesday, December 22, 2015

Resepi Makanan Bayi: Pasta

Assalamualaikum !


Kejadian hari sabtu baru-baru ni. Aku cadangnya nak masak sup makaroni sebab senang terus nak blend untuk yusuf sekali. Bila amirah bertanya mama masak apa dan aku jawab makaroni sup terus dia mencebik muka. Dia nak makan makaroni goreng.

Untuk tak nak menghampakan dia aku buat separuh separuh. Goreng dan sup. Tapi bila dah siap masak, yang sup tak laku pulak. Dan yang digoreng tak cukup-cukup. Terpaksa aku ambil makaroni sup tu, asingkan ayam dan sayur daripada supnya. Tumis bawang, masukkan air sup, letak sos tomato, makaroni dan goreng hingga kuah menjadi pekat dan kering sedikit. Siap. Cepat dimasak sedap dimakan. Licin dimakan mereka tiga beradik. 

Untuk yusuf pula, aku dah siap-siap asingkan sebelum letak garam dalam sup.

Jom tengok resepi untuk yusuf punya.


Makaroni + Isi Ayam + Kentang + Carrot + Brokoli + Bunga Kobis

Makaroni direbus. Tumis bawang besar dengan isi ayam. Masukkan air. Masukkan kentang, carrot, brokoli dan bunga kobis. Biar mendidih sehingga semuanya empuk. Masukkan makaroni yang telah direbus. Kisar.



Siap! Makaroni Sup untuk Yusuf.

Aku selalu masak bubur nasi untuk yusuf. Bila makan makaroni ni bertambah-tambah pulak selera dia.

--
--
--
--
--
Nah! belanja kaki budak demok 9 bulan baru lepas makan.



Cuba lah ye. semoga bermanfaat !


Resepi Makanan Bayi: Cheese

Assalamualaikum !

Yusuf di hadapan rumah opah

Hari ini yusuf dah genap sembilan bulan. Macam-macam resepi aku dah cuba untuk dia. Nampaknya setakat ni dia boleh terima semua yang aku masak. Tak ada menolak dan tak ada alahan.

Baru-baru ni buatkan yusuf hidangan berasaskan keju. Aku guna cheddar cheese.

Resepi 1: Potato Brocoli Cheese


Kentang + Brokoli + Keju Cheddar

Kukus atau rebus ubi kentang dengan brokoli hingga empuk. Lenyek kentang, brokoli bersama keju sehingga halus. Boleh juga dikisar dengan air masak atau susu ibu. Siap!

Rasanya sangat sedap. Lemak berkrim.


Resepi 2: Potato Chicken Cheese

Isi Ayam + Kentang + Bawang Besar + Keju Cheddar
(Tak ade ambil gambar)

Kukus atau rebus ubi kentang. Tumis bawang bersama isi ayam hingga bawang layu dan isi ayam kecut (masak). Kemudian kisar kentang yang telah direbus, bahan tumisan dan keju dengan sedikit air masak. Siap!.

Yang ini pun sedap. Masa aku bekalkan untuk yusuf ke rumah opahnya, sepupu-sepupu dia pun teringin sama.

Selamat mencuba dan semoga bermanfaat !

Monday, December 14, 2015

Resepi Makanan Bayi: Ubi dan Sayur Hijau

Assalamualaikum !

Masuk jer umur yusuf enam bulan, aku dah mula bagi dia makan. Masa pergi check-up 6 bulan di klinik kesihatan, jururawat ada pesan dah boleh bagi makan bubur nasi. Kalau tengok dalam buku pemeriksaan kesihatan di halaman panduan ibubapa tentang makanan bayi memang dah boleh bagi makan bubur nasi dan bahan protien yang lain.

Tapi aku ada juga baca dari blog ibu-ibu muda zaman sekarang ni (aku ibu tua). Ramai yang beri makan puri sebagai makanan permulaan. Jadi aku pun ikut sama bagi makan puri buah dan sayur. Kalau zaman amir dulu, aku terus jer bagi makan bubur nasi. Kosong pulak tu. Kalau ada campur pun, ikan bilis dengan kangkung jer. Memang nampak benar masa tu, jahil sangat. Patut lah amir, mira dulu..kurang nak makan bubur. haha. Alternatifnya aku suap cerelac.

Puri brokoli, labu, lobak merah, epal, pear, tomato.
Buat banyak-banyak kemudian simpan untuk stok  3-4 hari. 

Mulai tujuh bulan lebih macam tu, aku dah buatkan bubur nasi untuk yusuf. Dah tak buat stok lagi. Aku masak hari-hari. Mula-mula guna slow cooker. Masukkan semua bahan-beras, ayam dan sayur diwaktu hendak tidur. Bila bangun subuh, semuanya dah lembik dan sedia untuk yusuf makan. Tapi aku rasa susah pulak. Kadang-kadang, terlebih air, sampai subuh pun belum kering. Kalau terkurang air, bila subuh tu dah berkerak-kerak pulak. Arus elektrik pulak akan sentiasa on waktu kita tidur. Risau pulak aku, kalau jadi apa-apa nanti.

Sekarang aku masak hari-hari. Rasanya lebih senang. Beras tak perlu masak sampai jadi bubur. Hanya jadikan nasi lembik (lebihkan air), lepas tu kisar semuanya. Dah siap. Tak sampai satu jam pun. Yusuf dah boleh makan.

Entri kali ini, aku nak kongsi resepi makanan yang selalu aku masak untuk yusuf. Biasanya aku akan campur bubur tu dengan ubi-ubi seperti carrot, labu atau sweet potato (keledek). Ditambah pulak dengan sayuran hijau macam bayam, sawi atau bayam merah. Sebagai contohnya macam yang ini :

Beras + bawang merah putih + ikan bilis + carrot + sawi
ATAU

Beras + bawang merah putih + ayam + keledek + bayam merah
ATAU

beras + bawang merah, putih + ikan bilis/ayam + labu + bayam hijau.
(takde ambik gambar)

Cara-cara aku masak, mula-mula tumis bawang dan ikan bilis/ayam dengan satu sudu makan minyak masak. Bila bawang layu, masukkan satu mangkuk air, beras, ubi. Tutup periuk. Biar beras menjadi nasi dan ubi empuk sepenuhnya. Apabila sudah masak, masukkan sayuran hijau, kacau-kacau sampai sayur layu. Tutup api. Apabila sudah separuh sejuk, kisarkan. Boleh tambahkan air masak untuk mengerakkan blender.

Kalau hari bekerja, pagi-pagi lagi aku dah masak nasi untuk abang kakak yusuf. Jadi, aku hanya masak tanpa beras, kemudian masukkan nasi ketika hendak blend. Ambil yang mudah saja. Hehe.

Inilah hasilnya. Ini untuk tiga kali makan, breakfast, lunch dan dinner.

Keledek + Bayam Merah
Carrot + Sawi

Oh ye, bagi penggunaan minyak, aku tengok ada ibu-ibu yang guna minyak zaitun, unsalted butter. Terpulanglah kepada masing-masing. Bagi aku, guna minyak masak saja. Aku dah rujuk dengan nurse di klinik kesihatan. kata mereka boleh, untuk pembentukkan lemak baby. Jangan terlebih lemak sudah lah. Nanti obes pulak.

Lagi satu, kalau tak nak tumis pun boleh, rebus jer semua bahan-bahan tu. Bila dah masak, blend. Kisar pun, terpulang. Aku blend kasar-kasar sikit, ada teksture gitu sebab yusuf dah ada banyak gigi. Lapan batang.

yusuf sedang menikmati makanannya

Selamat mencuba dan semoga bermanfaat !

Nota kaki : masa masak, aku masukkan kismis atau kurma untuk maniskan bubur.

Wednesday, December 2, 2015

Babysitter Kejam : Berhati-hati Memilih Pengasuh Anak

Assalamualaikum !

Mula-mula masa habis 90 hari cuti bersalin aku hantar Yusuf ke taska. Tiga bulan di taska, lepas raya haji aku hantar dia ke rumah pengasuh. Pengasuh adalah pengasuh yang sama sebab pengasuh tu berhenti kerja dari taska. Kemudian minta nak jaga yusuf di rumahnya. Aku pun tanpa fikir panjang terus setuju aje. Dengan harapan tumpuan akan pada yusuf sahaja.

Rupa-rupanya bukan Yusuf saja di rumahnya. Rupa-rupanya ada 3 orang lagi baby dan seorang kanak-kanak umur 4 tahun. Semuanya dari taska tempat dia kerja dulu. Rupa-rupanya dia cantas pendapatan tuan taska itu. Aku rasakan  ini satu penganiyaan kepada tuan taska itu.

Dalam hati, aku dah buat kesilapan hantar Yusuf di situ.

Bulan pertama elok. Takde dengar masalah. Masuk bulan kedua, babysitter mula hantar sms. Beritahu yusuf selalu menangis tak henti-henti. Disuruh tidur tak mahu tidur. Diberi susu tak mahu minum.

Banyak kali juga aku pergi rumah dia. Tengok yusuf. Bila aku masuk je, yusuf kena bedung. Kena ikat di bouncer. Mata berair, bengkak dan merah, memang baru lepas nangis.

Masa aku di rumah dia, aku perati je cara dia layan dan asuh anak-anak kat situ. Sangat tidak memuaskan hati aku.

Apa yang paling aku tak puas hati:-

1) Semua baby dibedung masa tidur. (umur antara 4 bulan hingga 10 bulan). Yusuf tak biasa dibedung, mungkin sebab itu dia meronta dan menangis.

2) Cara bagi susu, botol susu dialas dengan bantal. Kemudian pengasuh main handphone. Sedar-sedar baby tertidur sendiri.

3) Jika masih tak mahu tidur, dia akan tepuk dada baby tapi kalau masih mata tak nak pejam, muka ditutup dengan kain napkin supaya cepat tidur.

4) Beri makan, secara baring. kalau baby bergerak atau meronta, tangan dan kaki dipegang, dan seorang lagi pengasuh (kakak babysitter) akan menyuap makanan. Secara paksa budak tu akan telan makanan. Janji habis.

5) Ini paling aku tak tahan. Percaya dengan benda syirik. Yusuf menangis dikata sawan tangis, ada makhluk menumpang di badannya. Yusuf ada saka dan macam-macam lagi. Padahal waktu cuti, bila di rumah, yusuf tak pernah menangis tanpa sebab.

Bila aku ke rumah babysitter tu waktu yusuf menangis, aku susukan yusuf, laju-laju dia minum. Selepas tu...baru dia mahu main. Ini bermakna yusuf lapar.

Sejak itu aku makin cuak dengan perangai babysitter tu. Fanatik sangat dengan benda-benda karut. Aku percaya juga dengan benda-benda halus tapi berpada-padalah. Jangan sampai jadi syirik.

Dari pemerhatian aku, keluarga mereka terlalu percaya sampaikan air yang diminta dari bomoh mana entah diberi pada aku untuk yusuf minum dan mandi. Tapi aku tak buat. Keesokkannya, dia kata yusuf dah ok sebab air tu. Padahal setitis pun aku tak sentuh sampai sekarang.

Habis bulan November baru-baru ni, aku bayar duit upah mengasuh. Lepas tu aku tak hantar dah yusuf kat rumah dia.

Kepada babysitter tu...."assalamualaikum adik (sebab dia panggil aku kak w/pun umur lebih kurang rasanya). Akak doakan awak dikurniakan hati yang lembut. Menyayangi anak-anak. Tidak menyeksa mereka seperti yang awak buat sekarang. Diorang bukannya anak patung yang boleh dibuat sesuka hati awak. Mungkin ibu-ibu lain tak ambil peduli anak mereka diperlakukan begitu. Tapi akak AMBIL KISAH apa yang awak dah buat pada yusuf. Ini sudah macam pra penderaan pada mereka. Mereka juga ada perasaan cuma belum pandai bercakap untuk meluahkannya. Jangan terkejut kalau pegawai JKM datang ke rumah awak sebab dah melanggar prosedur JKM. Untuk pegetahuan awak, mengasuh anak empat hingga sembilan orang wajib berdaftar sebagai taska di rumah."

Buat sementara waktu ni, yusuf dijaga oleh mak aku. Mak aku cakap, sepanjang waktu aku bekerja tak pernah lagi yusuf menangis-nangis tanpa sebab. Elok je perangai dia. Alhamdulillah.

Yusuf - tujuh bulan
~ Masa aku minta balik semua barang-barang yusuf yang aku bekalkan di rumahnya, katanya mana ada apa-apa. Bedak dan syampu dah habis. Padahal dari muka pintu aku nampak je bedak tertera nama YUSUF yang aku tulis masih berseal. Belum dibuka. Entah bedak sapalah yang dia sapu ke yusuf. Takpe lah dia taknak bagi. Aku dah niatkan ganti balik kalau dah terpakai anak orang punya. Selebihnya aku sedekahkan. Bantal pun dia taknak bagi. Tapi aku mintak jugak. Lambat-lambat dia hulurkan kat aku. Aku mintak sebab itu dari air tangan aku sendiri. Aku jahitkan special untuk yusuf semasa aku mengandungkan dia. Belum lagi terniat nak bagi kat anak orang.

Mintak maaf ye, dik. Akak cadangkan kalau nak jaga ramai-ramai macam taska, sediakanlah keperluan yang mencukupi. ~.

Thursday, November 26, 2015

Kacang Ragget Khairul Bariah

Assalamualaikum !

Sekarang mak aku buat bisnes jualan kacang goreng bersadur tepung. Ada orang panggil kacang botak. Kami panggil kacang rudget. Tak tahu dari mana asal usul nama tu.

Dari kecil lagi bila tiba hari raya pasti mak akan buat kacang ni sebagai salah satu hidangan kuih raya. Semasa aku sekolah dulu pun mak akan bekalkan aku bila nak pulang ke asrama.

Kacang ni dah jadi makanan tradisi dari moyang aku. Kemudian opah aku. Sekarang mak dan makcik-makcik aku pun sudah tahu membuatnya. Malah makcik aku di Shah Alam juga pernah bukak untuk tempahan hari raya beberapa tahun dulu bersama anaknya.

Anak-anak aku pun suka. Makan berulang-ulang tak jemu-jemu.

 
 Kacang rudget mak.

Gula, garam, bawang putih, telur, gaul bersama kacang. Masukkan tepung. Goreng.

Bungkus kecil-kecil seberat 50 gram dan hantar ke kedai-kedai serata bandar. Label bungkusan tu bapak aku yang taip. Diletaknya nama aku. 'Kacang Ragget Khairul Bariah'.

Alhamdulillah, sekali letak 50 bungkus. Ada yang dah laku. Sudah diulang tambah pun. Moga bisnes mak berkembang maju. Boleh tambah-tambah duit poket.

~ 9/10 rezeki itu adalah datang daripada perniagaan~


Ikut Atok Masuk Hutan

Assalamualaikum

Anak-anak dah mula bercuti. Buat masa ini hanya duduk di rumah sahaja. Waktu siang di rumah atok, malam di rumah sendiri. Belum ada perancangan ke mana-mana lagi sebab aku bekerja.

Masa cuti pertengahan tahun dulu, kami balik ke Ipoh, rumah atok sebelah papa. Satu hari tu, atok ajak anak cucu lelakinya masuk hutan. Seronok tak terkata semuanya.

Perjalanan bermula selepas makan tengahari dan solat zohor. Naik kereta dari rumah kemudian parking di tepi highway PLUS. Dari situ menuruni bukit, memasuki terowong bawah jalanraya, menyusuri anak sungai dan mendaki bukit meredah hutan.

Kata amir, bukitnya bukan setakat bukit biasa tetapi kecuraman hampir 90 darjah. Letih sangat nak naik katanya. Atok yang mendahului kumpulan anak beranak ni relax saja sebab dah biasa. Ini hobi dia sejak pencen beberapa tahun lalu. Umur dah nak masuk 71 tahun. Masih sihat dan steady kalah anak-anak.

Yang lain tercungap-cungap keletihan. Papa paling akhir katanya....haha, betul ke amir?

 

Aktiviti mereka, menangkap ikan tengas. Cara nak tangkap guna kejutan elektrik dari bateri motorsikal. Orang kampung kata karan ikan. Ada sapa-sapa yang tahu caranya? Aku tak tahu nak terangkan. Takde gambar nak tunjuk.

Masa arus elektrik mengalir dalam air, ikan-ikan akan pengsan sekejap dan masa ini amir dan pakcik-pakciknya akan kutip ikan. Mula-mula amir terkejut jugak sebab terasa tangan kena 'short' letrik. Atok dengan papa gelak-gelak tengok reaksi diorang.

# Kiri : Anak sungai tempat mereka mengaran ikan. Amir dengan pakcik-pakciknya.
# Kanan : Hasil tangkapan ikan tengas. Balik masuk goreng tepung sahaja.


        

Sampai di satu tempat atok tunjuk rumah atas pokok yang dia buat sendiri. Ketinggian lebih kurang tinggi tiang lampu jalan raya. Atok buat berdua dengan pakcik lutfi (adik papa). Bagi aku yang dengar cerita dan tengok gambar pun rasa kagum dengan pak mertua aku ni.

Keteguhan rumah ni boleh duduk dua orang dewasa. Atok dengan kawannya pernah solat kat atas tu. Hai kagum aku. Amir pulak dipaksa naik ke atas oleh papa. Mula-mula agak takut dan gayat. Ajak pakcik faiz naik sekali. Bila dah naik ok aje katanya. 

# Kiri : Ran a.k.a rumah atas pokok yang dibina sendiri oleh atok
# Kanan : Pemandangan dari atas rumah. Tinggikan?

 

Sampai sudah di atas pokok. # Kiri : dinding yang disulam guna daun apa ye (lupa dah). # Kanan : Amir berposing-posing. Seronok nampak, dalam hati gayat.


Cuti-cuti sekolah tak semestinya pergi ke tempat-tempat peranginan saja. Dalam hutan pun boleh jadi aktiviti bersama keluarga. Beriadah sambil cari pengalaman baru terutamanya kepada anak aku.

Nak ikutkan hati aku pun nak ikut sama tapi ada anak-anak yang masih kecil. Tak sesuai dibawa masuk hutan.

Esok negeri Perak cuti sempena Keputeraan Sultan. Dapatlah cuti tiga hari sampai Ahad. 


Wednesday, November 25, 2015

Kenapa Tak Boleh Tunjuk Pelangi?

Assalamualaikum

Bila musim cuti sekolah, penuhi permintaan anak-anak untuk hantar ke rumah atok opah mereka. Banyak aktiviti boleh dibuat bila di kampung berbanding jika berada di rumah taman.

Ini kejadian sebelah petang semalam selepas aku balik dari pejabat.


Lepak-lepak depan rumah sambil tengok sungai. Boleh nampak burung-burung terbang pulang ke sarang. Masa tu baru selesai hujan tapi ada matahari kelihatan. Maka terbitlah pelangi.



Tadaaa. Pelangi senja. Gambar tak cantik sebab guna kamera telefon yang tak canggih. tapi boleh nampak kan?

Seronok anak-anak aku tengok pelangi secantik ini. Nampak lengkungan dari kiri sampai ke kanan. Biasa nampak sekerat-sekerat aje.

Anak-anak aku menunjuk-nunjuk pelangi di langit. Pelangi...pelangi... Zaman aku besar dorang dulu tak berani nak tunjuk sebab opah aku kata nanti jari kudung. Tunjuk pun dengan jari yang digenggamkan macam penumbuk. Kelakarnya bila dikenang semula.

Aku beritahu anak-anak, 'dulu-dulu masa mama kecik orang tua-tua kata tak boleh tunjuk pelangi, nanti jari kudung.' Ketawa mereka. Betul ke mama? tanya Amirah. Aku jawab, tak lah, itu semua dongeng.


Amirah dan Daniel minta ambil gambar bersama pelangi tapi dah tak berapa nampak sebab cahaya sunset mulai terpancar menutupi warna-warna pelangi.

Sebenarnya aku sendiri pun tak tahu apa relevannya tunjuk pelangi dengan jari kudung. Kalau menyanyi sambil masak kahwin orang tua, relevannya tak nak berkhayal sambil masak risau makanan hangit. Kalau duduk di bantal nanti punggung bisul tu risau bantal pecah/koyak.

Teori yang satu ni aku tak tahu jawapannya sampai sekarang. Kenapa tunjuk pelangi jari boleh kudung ye.

Ada yang boleh jawab tak?

Tuesday, November 24, 2015

Sudah Empat Beradik

Assalamualaikum. Apa khabar semua. Setahun tidak menulis di sini.

Tiga Putera Satu Puteri

Setelah mengalami demam semasa mengandung tahun lalu, mama berhenti sementara waktu untuk menulis. Ada banyak cerita dan peristiwa sepanjang satu tahun ni. Suka dan duka. Yang pahit biarkan ia berlalu pergi. Tak usah dikenang-kenang. Ini kan blog Ini Cerita Kita sweetmemories4u. Jadi, ambil yang manis-manis sudah. 

Yusuf - tiga bulan

Kelmarin, 22hb November Yusuf genap lapan bulan. Sudah merangkak. Kadangkala mencapai kerusi atau apa saja yang tercapai oleh tangannya untuk melutut dan berdiri.

Yusuf dah ada perasaan dan memahami keadaan sekelilingnya. Ketawa bila orang bermain dengannya. Bila disuruh tepuk tangan, dia akan menepuk tangan dan melambai tangan bila diminta. Menangis bila keseorangan.

Alhamdulillah, Yusuf masih minum susu mama sepenuhnya. Sudah makan bubur nasi. Setiap hari mama mengepam susu di pejabat. Setiap pagi juga mama masak bubur untuk bekalan Yusuf di rumah pengasuh. Yusuf anak mama, membesarlah dengan sihat ye sayang!


~ anak-anak adalah anugerah, amanah dan ujian dari Allah kerana mereka adalah harta paling indah dan berharga bagi ibu bapa di dunia dan di akhirat ~

Luv, mama.